Pages

Friday, 4 July 2014

Ramadhan : Mendidik jiwa,Meraih Taqwa

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Bismillahirrahmanirrahim...bersyukur ke hadrat Allah untuk saya terus menyambung dakwah melalui penulisan ini setelah beberapa bulan meninggalkannya kerana atas sebab-sebab tertentu.'Entry' kali ini berkisar dengan bulan Ramadhan yang mana satu bulan  penuh dengan kelebihan buat umat nabi Muhammad S.A.W. Artikel kali ini dipetik dari karya Imam Muda Hassan dalam Harian Metro.Moga dengan perkongsian yang sedikit ini dapat menjentik dan memahami hati pembaca agar terus untuk menyebarkan risalah Islam di serata dunia. 

Petikan Status Facebook pemilik blog


Merujuk kepada Ayat 183 surah al Baqarah :


يا يها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt.


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ilahi tiba jua kita kepada satu bulan yang mana Allah ganjarkan banyak fadhilat di dalamnya. Semoga bulan Ramadhan kali ini menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.Manfaatkan Ramadhan dengan ibadah yang terbaik moga kita dapat mencapai insan yang muttaqin di sisi Tuhan.


Ramadhan tiba umat gembira,tatkala fadhilat melimpah di dalamnya,
manfaat sebaik sebagai amal kita,semoga diterima dan DiredhaiNya.

Ramadhan : mendidik Jiwa, Meraih taqwa.




--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ramadan Karim, Allahu Akram! Ahlan Wasahlan Ya Ramadan, selamat datang Ramadan! Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang masih memberi kita ruang dan ke–sempatan untuk bertemu Ramadan almubarak tahun ini.
Sesungguhnya, kesempatan bertemu lagi Ramadan tahun ini harus disyukuri kerana ia antara nikmat besar untuk setiap umat Islam. 
Apabila datang ke bazar Ramadan, ada yang membeli makanan lebih daripada diperlukan dan seterusnya menyebab­kan pembaziran.Tidak kurang juga yang menganggap Ramadan adalah bulan untuk ‘enjoy sakan’ membeli persiapan hari raya hinggakan tidak tahu yang mana keperluan dan yang mana pembaziran. Ramadan almubarak tahun ini juga pasti lebih mencabar daripada tahun sebelumnya akibat cuaca panas di negara kita sekarang.Bukan saja terpaksa menahan kepanasan secara fizikal, panas cuaca juga mudah mengundang rasa ‘panas’ terhadap nafsu amarah kita. Dalam keadaan panas, ditambah rasa dahaga dan lapar, ia benar-benar menguji kesabaran kita ketika berdepan situasi kurang menyenangkan. Begitu juga ‘panasnya’ hawa nafsu kita, terutama golongan Adam yang terpaksa berjuang menundukkan hawa nafsu daripada melihat pelbagai fesyen menjolok mata sempena musim panas ini. Bagi suri rumah dan wanita pula, rasa ‘panas’ hawa nafsu mungkin teruji dengan pelbagai tawaran diskaun dan jualan murah di pasar raya dan bazar Ramadan. Kerana itu ulama terdahulu menggelar Ramadan sebagai madrasah (tempat belajar) bagi umat Islam. Belajar bagaimana menundukkan hawa nafsu dan meningkatkan amalan untuk menjadi orang lebih baik serta bertakwa darjatnya di sisi Allah. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang yang lebih bertakwa.” Alangkah ruginya jika kita tergolong dalam kalangan orang yang tidak mendapat manfaat daripada kedatangan Ramadan. Lebih rugi lagi bagi mereka yang apabila hadirnya Ramadan, langsung menghancurkan amalan dengan pelbagai dosa dan kemaksiatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29
http://www.hmetro.com.my/articles/UsahpersiakelebihanRamadan/Article


Thursday, 16 January 2014

Rezeki ALLAH Itu Luas

kerat & tampal
Menerusi laman Facebook, ramai cuba menjadi jaguh bagi menentang kenaikan harga minyak dengan memberi analisis serta fakta yang kadangkala tidak diketahui kesahihan sumbernya.Tidak kurang juga mempertahankan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi harga petrol demi kesejahteraan rakyat untuk jangka panjang.Bagaimanapun, saya percaya kenaikan harga minyak mengundang sedikit sebanyak rasa sensitif dalam kalangan rakyat ‘marhaen’ yang seolah-olah sukar menerima kenyataan bahawa ia petanda kos sara hidup kita juga akan setakuk lebih tinggi daripada sebelumnya.


Golongan oportunis seperti kalangan peniaga pula akan menjadikan kenaikan harga petrol sebagai alasan kuat untuk menaikkan harga barang jualan. Tidak hairan, mereka cepat mengambil peluang untuk mengaut lebih keuntungan.Lihat saja laporan akhbar dua hari selepas kenaikan harga minyak diumumkan. Ada yang melaporkan harga segelas teh tarik di sebuah restoran naik 20 sen, ‘seiring’ dengan kenaikan harga petrol.

Dalam kehidupan dunia yang tidak adil ini, manusia terbahagi kepada dua kumpulan.Kumpulan pertama adalah dari golongan kebanyakan, yang menjadi mangsa untuk menelan pelbagai peningkatan kos sara hidup, di mana wang di dalam poket menjadi semakin tipis.

Namun, menyentuh isu kenaikan harga minyak, perlu diketahui, biar sehebat mana kita berhujah menentang kenaikan harga minyak dan barang komoditi lain, ia tidak sekali-kali akan mengecualikan kita daripada mengakui hakikat bahawa kita perlu lebih bersedia menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Kos sara hidup yang semakin meninggi umpama ‘mahar’ yang perlu kita bayar untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang semakin canggih dan moden ini.
Inilah hakikat yang perlu kita telan pada hari ini. Kenaikan kos sara hidup bukan saja dirasai rakyat negara ini, tetapi juga dihadapi rakyat negara lain.

Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang teman yang baru pulang dari Indonesia. Malah, rungutan beliau juga sama iaitu mengenai kenaikan kos sara hidup di Jakarta.
Sejak dua bulan lalu, rata-rata barang serta caj perkhidmatan seperti teksi mengalami kenaikan harga antara 10 hingga 20 peratus.Jadi sememangnya ia sesuatu yang perlu ditelan dan sepatutnya menjadikan kita lebih cekal menerima hakikat betapa dunia masa kini bukan seperti dulu.

Kita boleh merungut dan meratap menerima hakikat ini, tetapi tiada apa yang dapat mengubah nasib kita selain diri kita sendiri.Bagaimana susahnya keadaan kita pada masa ini, kita tidak akan mampu mendapatkan sesuatu dengan harga lebih murah kerana dunia tidak akan mengetahui kesusahan kita.

Kita perlu atau mungkin terpaksa menjadi kreatif dan berusaha lebih gigih lagi demi meneruskan kelangsungan hidup masa kini. Insya-Allah, rezeki Allah itu luas selagi kita berusaha dan memohon kepada-Nya dengan disertai pengabadian diri yang lebih kerap kepada-Nya.

Kita sebagai rakyat biasa sebenarnya sering menjadi mangsa dengan hujah dangkal golongan oportunis ini yang memberi alasan untuk menaikkan harga barang. Pastinya mereka berhujah bahawa kos operasi meningkat setiap kali harga minyak dan barang komoditi seperti gula naik.Golongan kedua pula adalah daripada kalangan minoriti, yang mana mereka mengeksploitasi keadaan untuk mengaut keuntungan berganda.





Wednesday, 30 October 2013

Terikut- ikut tudung

                                

Sebelum ini mereka yang bertudung lebih terbatas untuk mengenakan imej selari dengan fesyen semasa. Apatah lagi menyarungkan pelbagai busana terbaru kerana semuanya lebih tertumpu pada mereka yang tidak bertudung.
Kiranya mereka yang gemar fesyen akan lebih melihat aspek itu sempit selepas berhijrah. Maklumlah pakaian sendat sudah tidak sesuai dan mahkota paling berharga bagi wanita iaitu rambut pula kini tertutup.

Tapi sejak akhir-akhir ini, mereka yang bertudung melakukan eksperimen dengan mengenakan turban dan pelbagai lilitan asalkan rambut tertutup membuatkan imej itu dilihat ‘in’. 

Bukan sekadar fenomena memakai tudung ini adalah tanda positif mengikut mata agama, malah secara tidak langsung ledakan itu turut memberi tempias kepada cabang perniagaan dan rekaan kreatif tudung.

Lihat saja penyanyi terkenal Yuna dan Shila Amzah, masing-masing berjaya menonjolkan identiti diri dengan imej bertudung. Mulalah ramai gadis mengikut gaya itu, mengenakan tudung seperti penyanyi kegemaran mereka.

Bagaimanapun timbul persoalan terhadap pemakaian itu selepas ia ditransformasikan sehingga ‘hilang’ tujuan sebenar seperti disyariatkan dalam Islam. Hakikatnya, gaya bertudung mereka adalah untuk kepuasan diri dengan mengenakan fesyen terkini dan bukannya menutup rambut kerana tuntutan agama.


Namun, tidak semuanya begitu walaupun realitinya hari ini lebih ramai selebriti berhijrah secara mendadak dan kemudiannya muncul pula pelbagai bahan bacaan dan program televisyen yang khas buat mereka bertudung. 

Adakah tudung atau sebarang gaya menutup aurat rambut itu satu fesyen ataupun sudah masanya untuk berhijrah?


Tidak salah untuk cantik

Fesyen memang dibolehkan, Islam tidak melarang. Kalau dilihat, fesyen bertudung kebanyakan pendek di bahagian dada, tapi labuh di bahagian belakang. Tapi Islam memerintahkan ‘labuh di bahagian dada’.

Ingin kelihatan cantik tidak salah dan itu memang lumrah setiap manusia, lebih-lebih lagi golongan Hawa. Tapi semuanya ada batas terutama bagi mereka yang mengenakan tudung. 

Mendengar beberapa pendapat anak muda, mereka lebih menyifatkan senario ini sebagai hak individu. Ikut niat dan kata hati bukannya apa yang dipamerkan pada luaran saja. 

“Berhijab satu tuntutan dan kewajipan sebagai Islam. Tidak salah, jika kita ingin mengikut fesyen atau trend, tapi haruslah mengikut syariat. Tuntutan atau fesyen terpulang kepada si pemakai, kerana mereka lebih tahu sama ada pakaian itu sekadar fesyen atau sebaliknya.

“Memang tidak dinafikan, ada orang memakai hijab merasakan tidak cantik kalau tidak ketat dan sebagainya. Tidak salah untuk cantik, tapi biarlah aurat itu dipelihara dan dijaga, ingin cantik adalah fitrah manusia. Tidak salah untuk cantik kerana Allah juga sukakan kecantikan. 

“Tudung masa kini nampak lebih kepada trend. Terutama perkembangan luar yang memodenkan pemakaian hijab, kadang-kadang sudah menyerupai cara tudung orang yang bukan Islam. 

“Bila ditanya, mereka hanya mengatakan Islam itu mudah dan boleh berfesyen, tapi kita sendiri lupa benda kecil itulah di sisi Allah sangat besar. Perkara ini sudah lari daripada hukum sebenar, kadang-kadang agak keterlaluan dilihat, menutup aurat, baju jarang, nampak susuk tubuh badan, tidak pun tudung dah cantik, nampak pula leher.

“Justeru untuk membincangkan perkara ini, ia berbalik semula kepada nawaitu si ­pemakai. Jangan nanti kalau menuduh atau salah andaian, jatuh hukum fitnah pula,” kata gadis muda yang sudah lebih setahun berhijab itu. 

Bagaimanapun perlu diingatkan, jika ada gadis yang bertudung untuk fesyen, peratusannya begitu kecil. Tapi daripada pemerhatian kasar, anak gadis yang sudah berhijrah dengan mengenakan tudung adalah mereka yang memang ingin berubah. 

Keberanian dan rasa yakin untuk mereka mengubah imej itu adalah disebabkan mereka melihat yang bertudung juga masih boleh nampak cantik dan bergaya jika betul cara pemakaiannya.



                              

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terikut-ikuttudung/Article/index_html



Salah Ukur Baju

Memahami isu trend, fesyen dan teknologi mampu buatkan seseorang nampak bergaya. Sebab itulah anak muda sekarang lebih pentingkan jenama dan gaya tanpa hirau duit dalam poket cukup atau tidak.
Sana-sini bising isu kenaikan harga makanan, bahan api petrol, diesel serta harga rokok semakin mahal. Bagi golongan berkeluarga, sudah tentu kenaikan harga keperluan asas cukup meresahkan kerana terpaksa menyusun semula bajet bulanan. 
Namun lain kisahnya bagi kebanyakan anak muda. Golongan ini tidak terkesan dengan fenomena harga naik kerana perbelanjaan dan wang poket masih disalurkan ibu bapa atau duit pinjaman. Oleh itu, tabiat berbelanja dengan boros diteruskan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Pelbagai produk dan trend pakaian baru dipaparkan di televisyen dan papan iklan membuatkan keinginan diri membuak-buak untuk mendapatkannya walhal wang poket tak seberapa. Sebagai remaja, apakah peranan kita dalam mengawal perbelanjaan seharian?
TAK BOLEH UBAH TABIAT

Tak kisah tebalkan muka meminjam sana-sini asalkan mampu bergaya dan nampak menonjol daripada yang lain. Itu realiti anak muda sekarang yang sanggup habiskan wang ringgit semata-mata mahu kelihatan ‘up-to-date’.

Lebih menyedihkan terdapat juga remaja yang membelanjakan wang sama ada daripada wang saku yang diberikan ibu bapa, pinjaman atau biasiswa mahupun hasil duit poket hasil kerja sambilan dengan membeli rokok, barang-barang terlarang, berbelanja di tempat hiburan dan sebagainya. Tanpa berfikir panjang, mereka akan gunakan duit yang ada untuk memenuhi keinginan berbanding keperluan.

Sebagai contoh, telefon berharga RM600 sudah memadai untuk seorang pelajar berbanding telefon pintar bernilai RM2,000. Hakikatnya yang mahal itulah menjadi pilihan mereka kerana tidak mahu dicop ketinggalan zaman. Senario ini sering berlaku dalam kalangan remaja, disebabkan itu mereka sukar untuk mengubah tabiat ‘salah ukur baju’ ini.


LAIN UMUR LAIN KEINGINAN

Berdasarkan program yang dilaksanakan Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) pada 2010, mereka mendapati pola perbelanjaan kanak-kanak dan remaja jauh berbeza iaitu kanak-kanak sekitar usia lima tahun lebih cenderung membeli alat permainan sebagai keperluan utama berbanding remaja suka produk penampilan diri.

Semakin kanak-kanak meningkat dewasa, semakin berbeza kemahuan dan keinginan mereka. Ini menunjukkan semakin meningkat usia seseorang, mereka lebih banyak berbelanja untuk menjaga penampilan diri selain daripada produk hiburan seperti alat telekomunikasi dan telefon bimbit.

Menjengah ke peringkat lebih tinggi, remaja berstatus pelajar institusi pengajian tinggi lebih mementingkan alat telekomunikasi, pakaian berjenama dan kenderaan sebagai keperluan. Tak kiralah apa saja kemahuan yang diinginkan asalkan wang yang ada cukup untuk dibelanjakan setiap bulan tanpa perlu menyusahkan orang lain, pandai-pandailah kita fikirkan untuk kesenangan seharian.


PENGARUH ANASIR LUAR

Isu ‘salah ukur baju’ ini lebih terarah kepada remaja yang berusia 15 hingga 29 tahun. Walaupun sumber kewangan pada peringkat ini tidak begitu kukuh, tak dinafikan keinginan meninggi sama seperti orang dewasa. Kenyataan ini diakui beberapa kenalan penulis yang ditemui.

Bagi Mohd Syukri Hassan, 23, dia menjelaskan selepas tamat belajar, remaja akan berlumba-lumba untuk mencari kerja. Katanya, apabila sudah mendapat kerja, akan timbul perkara lain untuk ‘kacau bilaukan’ bajet gaji bulanan.

“Saya akui, setiap peringkat umur akan wujud ‘anasir’ luar sama ada daripada kawan atau media massa yang mempengaruhi fikiran. Contohnya apabila sudah berkereta, timbul pula kecenderungan untuk mengubah suai kenderaan, tambah itu ini untuk nampak cantik, semua itu memerlukan wang. Sudahnya keinginan baru ini akan ‘kacau kepala’ setiap kali gaji masuk,” katanya yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Manakala bagi Fatihah Md Isa, 24, pula menjelaskan perubahan gaya hidup khususnya bagi mereka yang suka berhibur akan mengubah gaya perbelanjaannya ke arah perkara sia-sia. Apatah lagi dengan tabiat remaja yang suka mengikut trend terkini, pengeluar produk pastinya berlumba-lumba untuk menghasilkan barangan untuk menarik golongan muda membelinya.


BUAT BUKU 555

Jika anda dilahirkan pada 70-an, 80-an atau awal 90-an, pastinya tidak akan lupa dengan buku 555, iaitu buku kecil yang sering menjadi pilihan ibu bapa mencatatkan segala hutang dan wang keluar masuk setiap bulan.

Meskipun zaman sudah lama berubah, tidak ada salahnya kita kekalkan tradisi yang boleh beri kebaikan. Penulis berpendapat, kekalkan tabiat mencatatkan apa saja perbelanjaan harian boleh buatkan kita tahu cara kita aturkan wang selain aliran duit keluar masuk lebih mudah dikawal.

Malah, pakar kewangan juga ada mencadangkan perkara asas yang mudah iaitu senarai barang perbelanjaan ditulis dan dicatatkan supaya aliran keluar masuk wang dapat diperiksa selalu. Keperluan utama perlu didahulukan seperti membeli buku, peralatan kuliah dan sebagainya. Namun hendaklah diasingkan antara keperluan yang mendesak ataupun keperluan pada masa jangka panjang. Untuk realisasikan perkara ini perlu ada kekuatan dalaman yang kukuh dan mestilah berdisiplin. Kalau pun ada 10 buah buku catatan, tapi sikap boros masih sama, tidak ada gunanya.


PILIH TABUNG COMEL

Dalam situasi sekarang, pembiayaan kos pendidikan dan taraf hidup yang makin meningkat membuatkan kita semakin sukar untuk mendapat pembiayaan perbelanjaan pendidikan atau sara diri. Oleh itu, dengan amalan menabung seawal remaja lagi, wang itu dapat digunakan untuk keperluan mendesak kelak.

Antara tekniknya adalah dengan memilih tabung yang anda suka. Tabung comel contohnya bercorak bunga, berbentuk kucing, rumah atau apa saya yang ada gemari boleh buatkan kita lebih bersemangat untuk menabung. Ambil langkah kurang habiskan wang kepada perkara yang kurang penting. Contohnya membeli kredit panggilan telefon, pakaian baru berjenama dan makanan ringan.

Pengurangan penggunaan kredit telefon dapat menjimatkan banyak wang, malah duit itu boleh dimasukkan ke dalam tabung. Pembelian pakaian baru dapat dihadkan, pembelian makanan yang tidak berkhasiat juga dapat dielakkan sebagai langkah berjimat-cermat.

Kesimpulannya, ukurlah baju di badan sendiri. ‘Jangan pula saiz badan S tapi berbelanja seperti saiz XL’.






Tuesday, 1 October 2013

Asalkan Ikhlas.

Tiba saja tarikh lahir, tentu antara kita meraikan ulang tahun kelahiran bersama insan teristimewa sama ada dengan keluarga, saudara, sahabat dan kekasih.
Pun begitu, apabila sampai tarikh itu pasti kita tertanya-tanya hadiah yang sesuai diberikan kepada pasangan. Tambahan pula, si dia cerewet sedang­kan ia bergantung kepada keikhlasan individu itu sendiri. 
Jadi, sebagai kekasih boleh memberikan hadiah dalam pelbagai bentuk seperti aksesori, makanan atau pakaian asalkan si dia suka dan dapat dijadikan kenangan. 
Pemberian bunga
Bunga adalah salah satu cara orang lelaki pada zaman 80-an memberi hadiah kepada pasangan wanita ketika menyambut ulang tahun kelahiran. Jika diimbas kembali, bunga juga sebagai simbol untuk melamar kekasih sebagai teman sehidup semati. 

Namun, peredaran era memperlihat­kan perubahan sehingga pemberian bunga bukan lagi satu ikutan terutama golongan muda. 

Pemberian bunga juga dianggap ‘taktik lama’ dan tak mengikut perubahan zaman. Jika kita lihat dalam drama Melayu, tidak ada lagi babak pemberian bunga. Jika ada sekalipun, mungkin cerita lama. 

Tapi, jika pasangan itu memang dilahirkan mempunyai naluri romantis dan ingin menunjukkan kasih sayang dengan cara memberi bunga, mungkin anda dalam kalangan yang bertuah. 


Puisi cinta

Sebut berkaitan puisi, sajak, syair dan pantun, tentu ada yang menarik diri kerana tidak pandai menyusun ayat dalam kosa kata tertentu. Lantas mengelak, jika ada teman rapat memberi cadangan itu. 

Jika menerima cadangan itu sekalipun, barangkali melantik atau memberi upah kepada teman lain yang memang bijak dalam mengarang puisi. Namun, tak dihebohkan kepada kekasih, nanti tak mahu pula dia menerimanya. 

Maklum saja, wanita memang ­dilahirkan mempunyai naluri halus dan mudah tersentuh jika teman lelakinya memberikan kata-kata pujangga begitu. Tak kisah siapa yang mengarang, asalkan ada dan ia menampakkan kesungguhan lelaki untuk menarik hati wanita. 

Sejak lahirnya kecanggihan Internet, mereka yang dilamun cinta tidak perlu lagi bersusah payah mengarang puisi, tapi hanya salin semula ayat-ayat itu. 

Namun jangan sambil lewa ambil, seharusnya teliti maksud yang disampaikan dan tidak lupa untuk menyatakan sumber yang diambil, lucu! 

Malah ia lebih memudahkan seseorang itu daripada mengarang puisi panjang kerana hasil tangan sendiri belum tentu dapat dirasai dan difahami oleh sang kekasih. 

Meskipun, ada yang me­ngambil keputusan untuk memberikan hadiah dalam bentuk puisi, jangan pula kecut perut jika kekasih inginkan puisi daripada ilham anda sendiri. Namun tak jadi masalah buat mereka yang memang berbakat. 


Kad ucapan

Ada pelbagai saiz, yang kecil boleh diselitkan di kotak hadiah. Tetapi hari ini, ia bagaikan tidak relevan. Lainlah si romantis berjiwa klasik dan sentimental.

Zaman perubahan teknologi dan lambakan laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook ini tidak memungkinkan lagi pemberian kad ucapan dalam bentuk fizikal kerana lambakan ucapan kini boleh diperoleh dengan mudah. Kebanyakannya percuma!


Wangian 

Pemberian minyak wangi kepada pasangan ketika menyambut ulang tahun kelahirannya masih popular dalam kalangan muda-mudi. Tambahan lambakan mi­nyak wangi bukan sahaja di pasaraya atau butik mewah, sebaliknya mudah didapati di pasar malam dengan pelbagai jenis aroma, jenama dan harga murah. Namun apakah ramai kekasih yang mahu menghadiahkan barangan pasara malam? Tepuk dada tanya selera.

Jika ingin membelinya untuk dijadikan sebagai hadiah, jangan pula memberitahu kepada pasa­ngan. Bimbang ‘kantoi’ pula. Faham saja, tak ada pasangan yang rela diberikan hadiah yang dibeli dari pasar malam, nampak murah dan tak ada kualiti. 

Namun tidak ada salahnya jika ia dibeli dari pasar malam atau di tempat mana sekalipun, asalkan pasangan itu ikhlas. Jika tak mahu membazir, bertanya terlebih awal minyak wangi kegemarannya. Baru si dia terasa keikhlasan anda pada saat itu dan merasakan kekasihnya menghargai kehadiran dirinya dengan memberikan hadiah kesukaan. 


Tip memberi hadiah

Memberikan hadiah adalah salah satu cara untuk mengungkap perasaan sayang kepada insan teristimewa. Bagaimana cara berkesan untuk memberikan hadiah? 

1. Kemas atau bungkus hadiah sebaik mungkin agar si dia yang menerimanya akan rasa lebih senang dan tertarik meskipun hadiah di dalamnya hanyalah biasa-biasa saja. Selain, membuatkan perasaan melonjak gembira apabila menerima hadiah dan si dia akan lebih menghargai pemberian hadiah itu. 

2. Memberikan hadiah pada hari penting atau hari yang teristimewa buat dirinya. Kerap melakukan kejutan memberi hadiah pada hari lain sebagai tanda dia dihargai. 

3. Jika ingin memberi seseorang itu hadiah haruslah dengan hati yang tulus dan ikhlas. 

4. Jika sudah memberi hadiah, tidak sesekali mengung­kit dan membicarakan pemberian hadiah yang diberikan serta tidak meminta untuk dibalas.


Monday, 26 August 2013

Duit Raya ???

Apabila dapat duit raya sehingga beratus-ratus ringgit, anak muda mula memasang ‘angan-angan’ untuk membeli barang kesukaan. Namun ada juga yang menabung dan menggunakannya ketika diperlukan.
Kalau dilihat dari perspektif positif, pemberian duit raya mampu memberikan senyuman kepada anak-anak kecil atau yatim umpamanya, keluarga berpendapatan rendah atau miskin dan beberapa golongan lain.
Sebenarnya jika kita lihat dari skop Malaysia saja, budaya memberi duit raya memang sudah lama diamalkan sejak dulu lagi walaupun ia bukanlah sesuatu yang wajib ataupun satu kemestian. Namun mungkin tidak bagi segelintir anak-anak kecil yang menunggu duit raya ketika berhari raya.

Senario biasa yang berlaku setiap kali datangnya raya terutamanya di kampung atau kawasan perumahan luar bandar, anak kecil akan lekas berkumpul dengan teman-teman seawal pagi untuk mengumpul duit raya dengan ‘pusing’ satu kampung.

Tuan rumah yang memberikan duit raya ­paling banyak akan mendapat kunjungan lebih ramai. Individu pertama yang pergi ke rumah itu akan memberitahu kawan-kawan lain. Malah lebih kelakarnya, ada anak kecil yang singgah ­lebih daripada sekali semata-mata ingin ­penuhkan poketnya.

Tuan rumah yang beri duit raya sedikit akan mendapat gelaran seperti kedekut atau Haji Bakhil. Itulah keadaannya beraya di kampung dan kanak-kanak adalah penyeri yang memeriahkan lagi sambutan hari raya.

Namun apabila sudah masuk ke alam remaja, dalam lingkungan usia 13 tahun ke atas, jarang mereka diberikan duit raya tetapi tak dinafikan masih ada yang menerimanya. Cuma jumlahnya sudah berbeza.

Kalau boleh, nak ulang semula kehidupan beraya seperti dulu, tidak perlu memberi duit raya tapi menerimanya. Namun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Kaum Cina memberi gelaran duit raya sebagai ‘angpau’. Mengikut tradisi mereka, wanita atau lelaki yang belum mendirikan rumah tangga wajib menerima ‘angpau’ daripada mereka yang sudah berkahwin tak kira peringkat usia.

Pemberian duit raya tidak menjadi menjadi satu tradisi wajib apabila tibanya Aidilfitri, namun tak salah jika pemberian itu dianggap sebagai satu sedekah atau hadiah kepada anak-anak.

Ada antara ibu bapa menggunakan alasan ‘duit raya’ untuk memujuk anak-anak berpuasa. Ini bukannya dianggap sebagai rasuah tetapi untuk mendidik anak agar mentaati suruhan ­agama.

http://www.hmetro.com.my/articles/Perlukeduitraya_/Article

Kasih Sayang Sesama Manusia

KITA digalakkan membaca lafaz Bismillah dalam setiap urusan seharian seperti dalam zikir, doa, bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi ketika mengerjakan solat.
Membaca Bismillah adalah lambang akidah, betapa Allah amat menyayangi hamba-Nya walaupun kita menderhakai-Nya. Dia masih mengurniakan kita segala-galanya.

Apabila membaca Bismillah, kita mengisytiharkan diri kita mesti belajar menyayangi sesama manusia. Nilai kasih sayang amat hebat kesannya dalam kehidupan.

Sekiranya nilai itu hilang daripada hati manusia, ia mengundang pelbagai bencana. Kejian demi kejian dan segala kebiadaban menular gara-gara hilangnya kasih sayang.

Cuba lihat masyarakat jahiliah yang hancur nilai kemanusiaannya itu mula berubah sekelip mata apabila iman dibawa Rasulullah mengajar cinta dan kasih sayang.

Golongan tua perlu hormat kepada orang muda, si kaya simpati dengan si miskin sementara yang berkuasa menghormati golongan lemah.

Malah, sifat saling memberi keutamaan kepada orang lain itu begitu takjub hingga tidak pernah direkodkan dalam sejarah. Bukan saja sesama manusia malah terhadap haiwan juga.

Semua rahmat Allah mula mengalir dalam sanubari insan. Lantaran itu bagi memulakan sesuatu kebaikan, saling menghormati dan apa saja kebaikan mesti bermula dengan mencintai Allah.

Seorang mukmin juga perlu sentiasa memelihara lidahnya daripada mengeluarkan perkataan keji, mencela dan melaknat orang lain, malah berhati-hati sepanjang masa.

Selain itu, umat Islam juga perlu bersifat amanah kerana orang yang tidak amanah tidak sempurna imannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Hadis riwayat Ahmad).

Sekali pun manusia mengaku dirinya beriman dan beragama tetapi khianat itu menjadi pakaiannya, segala perintah Allah diabaikan serta larangan-Nya ‘dilanggar’.

Seorang mukmin sejati perlu memandang semua orang beriman itu sebagai saudaranya. Kita perlu saling menghormati, menasihati dan menerimanya dalam apa keadaan.

Orang yang tidak boleh menerima nasihat atau tidak mahu menasihati saudaranya dinodai nafsunya. Mereka yang suka bermusuhan sesama mukmin bukanlah daripada kalangan mukmin sejati.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As, katanya: “Seseorang sudah bertanya Rasulullah: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah pernah menunjukkan marah-Nya pada kaum terdahulu seperti kaum Nabi Nuh lalu didatangkan banjir besar selama berbulan-bulan.

Kepada kaum Nabi Luth yang melakukan hubungan homoseksual, Allah tunjukkan juga marah-Nya dengan menterbalikkan permukaan bumi ke bawah dan menaikkan segala isi yang berada di dasar ke permukaan. Kesan dan tandanya masih boleh dilihat di Jordan sehingga kini.

Allah juga tenggelamkan Firaun dan Qarun kerana keegoan mereka. Justeru, sekiranya kita ingkar, tidak mustahil juga kita pasti menerima nasib yang sama seperti golongan yang dinyatakan itu.

Mohonlah kepada Allah supaya kita sama-sama dijauhkan daripada segala bentuk malapetaka dan bala. Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan mengurniakan barakah dan rahmat ke atas bumi yang kita diami ini.





http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasihsayangsesamamanusia/Article/index_html