Pages

Monday 26 August 2013

Duit Raya ???

Apabila dapat duit raya sehingga beratus-ratus ringgit, anak muda mula memasang ‘angan-angan’ untuk membeli barang kesukaan. Namun ada juga yang menabung dan menggunakannya ketika diperlukan.
Kalau dilihat dari perspektif positif, pemberian duit raya mampu memberikan senyuman kepada anak-anak kecil atau yatim umpamanya, keluarga berpendapatan rendah atau miskin dan beberapa golongan lain.
Sebenarnya jika kita lihat dari skop Malaysia saja, budaya memberi duit raya memang sudah lama diamalkan sejak dulu lagi walaupun ia bukanlah sesuatu yang wajib ataupun satu kemestian. Namun mungkin tidak bagi segelintir anak-anak kecil yang menunggu duit raya ketika berhari raya.

Senario biasa yang berlaku setiap kali datangnya raya terutamanya di kampung atau kawasan perumahan luar bandar, anak kecil akan lekas berkumpul dengan teman-teman seawal pagi untuk mengumpul duit raya dengan ‘pusing’ satu kampung.

Tuan rumah yang memberikan duit raya ­paling banyak akan mendapat kunjungan lebih ramai. Individu pertama yang pergi ke rumah itu akan memberitahu kawan-kawan lain. Malah lebih kelakarnya, ada anak kecil yang singgah ­lebih daripada sekali semata-mata ingin ­penuhkan poketnya.

Tuan rumah yang beri duit raya sedikit akan mendapat gelaran seperti kedekut atau Haji Bakhil. Itulah keadaannya beraya di kampung dan kanak-kanak adalah penyeri yang memeriahkan lagi sambutan hari raya.

Namun apabila sudah masuk ke alam remaja, dalam lingkungan usia 13 tahun ke atas, jarang mereka diberikan duit raya tetapi tak dinafikan masih ada yang menerimanya. Cuma jumlahnya sudah berbeza.

Kalau boleh, nak ulang semula kehidupan beraya seperti dulu, tidak perlu memberi duit raya tapi menerimanya. Namun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Kaum Cina memberi gelaran duit raya sebagai ‘angpau’. Mengikut tradisi mereka, wanita atau lelaki yang belum mendirikan rumah tangga wajib menerima ‘angpau’ daripada mereka yang sudah berkahwin tak kira peringkat usia.

Pemberian duit raya tidak menjadi menjadi satu tradisi wajib apabila tibanya Aidilfitri, namun tak salah jika pemberian itu dianggap sebagai satu sedekah atau hadiah kepada anak-anak.

Ada antara ibu bapa menggunakan alasan ‘duit raya’ untuk memujuk anak-anak berpuasa. Ini bukannya dianggap sebagai rasuah tetapi untuk mendidik anak agar mentaati suruhan ­agama.

http://www.hmetro.com.my/articles/Perlukeduitraya_/Article

Kasih Sayang Sesama Manusia

KITA digalakkan membaca lafaz Bismillah dalam setiap urusan seharian seperti dalam zikir, doa, bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi ketika mengerjakan solat.
Membaca Bismillah adalah lambang akidah, betapa Allah amat menyayangi hamba-Nya walaupun kita menderhakai-Nya. Dia masih mengurniakan kita segala-galanya.

Apabila membaca Bismillah, kita mengisytiharkan diri kita mesti belajar menyayangi sesama manusia. Nilai kasih sayang amat hebat kesannya dalam kehidupan.

Sekiranya nilai itu hilang daripada hati manusia, ia mengundang pelbagai bencana. Kejian demi kejian dan segala kebiadaban menular gara-gara hilangnya kasih sayang.

Cuba lihat masyarakat jahiliah yang hancur nilai kemanusiaannya itu mula berubah sekelip mata apabila iman dibawa Rasulullah mengajar cinta dan kasih sayang.

Golongan tua perlu hormat kepada orang muda, si kaya simpati dengan si miskin sementara yang berkuasa menghormati golongan lemah.

Malah, sifat saling memberi keutamaan kepada orang lain itu begitu takjub hingga tidak pernah direkodkan dalam sejarah. Bukan saja sesama manusia malah terhadap haiwan juga.

Semua rahmat Allah mula mengalir dalam sanubari insan. Lantaran itu bagi memulakan sesuatu kebaikan, saling menghormati dan apa saja kebaikan mesti bermula dengan mencintai Allah.

Seorang mukmin juga perlu sentiasa memelihara lidahnya daripada mengeluarkan perkataan keji, mencela dan melaknat orang lain, malah berhati-hati sepanjang masa.

Selain itu, umat Islam juga perlu bersifat amanah kerana orang yang tidak amanah tidak sempurna imannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Hadis riwayat Ahmad).

Sekali pun manusia mengaku dirinya beriman dan beragama tetapi khianat itu menjadi pakaiannya, segala perintah Allah diabaikan serta larangan-Nya ‘dilanggar’.

Seorang mukmin sejati perlu memandang semua orang beriman itu sebagai saudaranya. Kita perlu saling menghormati, menasihati dan menerimanya dalam apa keadaan.

Orang yang tidak boleh menerima nasihat atau tidak mahu menasihati saudaranya dinodai nafsunya. Mereka yang suka bermusuhan sesama mukmin bukanlah daripada kalangan mukmin sejati.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As, katanya: “Seseorang sudah bertanya Rasulullah: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah pernah menunjukkan marah-Nya pada kaum terdahulu seperti kaum Nabi Nuh lalu didatangkan banjir besar selama berbulan-bulan.

Kepada kaum Nabi Luth yang melakukan hubungan homoseksual, Allah tunjukkan juga marah-Nya dengan menterbalikkan permukaan bumi ke bawah dan menaikkan segala isi yang berada di dasar ke permukaan. Kesan dan tandanya masih boleh dilihat di Jordan sehingga kini.

Allah juga tenggelamkan Firaun dan Qarun kerana keegoan mereka. Justeru, sekiranya kita ingkar, tidak mustahil juga kita pasti menerima nasib yang sama seperti golongan yang dinyatakan itu.

Mohonlah kepada Allah supaya kita sama-sama dijauhkan daripada segala bentuk malapetaka dan bala. Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan mengurniakan barakah dan rahmat ke atas bumi yang kita diami ini.





http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasihsayangsesamamanusia/Article/index_html