Pages

Monday 27 July 2015

27 Julai Dalam Sejarah

HARI INI DALAM SEJARAH



PILIHANRAYA PERSEKUTUAN YANG PERTAMA

Tarikh Peristiwa pada 27-07-1955



Pada hari ini dalam tahun 1955 pilihanraya persekutuan yang pertama di Tanah Melayu telah diadakan. Di antara parti-parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah:

(a) Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC yang baru menyertainya. Parti Perikatan mempertandingkan seramai 52 orang calon, seorang bagi tiap-tiap kawasan pilihanraya.
(b) Parti Negara pimpinan Datuk Onn mengemukakan 33 orang calon.
(c) Parti Islam SeTanah Melayu (PAS) dengan 11 orang calon.

Parti-parti lain yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini ialah Parti Buruh, Parti Kemajuan Perak (kemudian menjadi Parti Kemajuan Rakyat), Pertubuhan Kebangsaan Perak dan Pertubuhan Melayu. Mereka telah meletakkan 18 orang calon di antara mereka, 18 orang calon lagi telah bertanding sebagai calon bebas. Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Kerusi yang sebuah lagi dimenangi oleh PAS. la adalah satu kemenangan yang gemilang bukan hanya dari segi bilangan kerusi yang telah dimenangi tetapi ia juga menandakan hakikat bahawa di setengah-setengah kawasan pilihanraya bilangan pengundi yang terbanyak merupakan orang Melayu tetapi calon-calon bukan Melayu yang diletakkan oleh Parti Perikatan telah menang. Ini membuktikan bahawa konsep Perikatan boleh dilaksanakan dan diterima baik oleh rakyat. Satu perkara yang menarik perhatian ialah bahawa 84.2% daripada para penggundi terdiri daripada orang Melayu dan orang Melayu boleh memenangi 95% daripada kerusi yang dipertandingkan. Kerana perasaan muhibbah, persefahaman dan penerimaan konsep Perikatan, 32% daripada kerusi yang dipertandingkan telah diberi kepada calon-calon bukan Melayu dan MCA dan MIC. Sesungguhnya, semangat yang sama inilah yang membuat Parti Perikatan menjadi sebuah pertubuhan politik yang sangat berjaya. Di atas semangat kerjasama dan muhibbah ini terletaknya kekuatan negara.Berikutan dengan ini Parti Perikatan telah berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan mendapat suara terbanyak dalam Majlis Undangan Persekutuan. Pemimpin Perikatan, Tunku Abdul Rhaman telah diangkat sebagai Ketua Menteri. Menteri-menteri yang dipilih dalam Kabinet adalah bertanggungjawab mengendalikan perkara-perkara tertentu seperti pelajaran dan kesihatan. Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan British masih terus menguasai hal-hal seperti hubungan luar, pertahanan, kewangan dan perkhidmatan awam. Sistem pemerintahan dua lapis ini adalah satu langkah menuju ke arah pencapaian berkerajaan sendiri. Pilihanraya Persekutuan ini telah memulakan satu era baru dalam perkembangan politik di Malaya, di mana ia mengalami pergerakan ke arah pembentukan sebuah kerajaan baru dan mewujudkan sebuah negara yang merdeka.

Sumber : http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=4017