Pages

Wednesday 30 October 2013

Terikut- ikut tudung

                                

Sebelum ini mereka yang bertudung lebih terbatas untuk mengenakan imej selari dengan fesyen semasa. Apatah lagi menyarungkan pelbagai busana terbaru kerana semuanya lebih tertumpu pada mereka yang tidak bertudung.
Kiranya mereka yang gemar fesyen akan lebih melihat aspek itu sempit selepas berhijrah. Maklumlah pakaian sendat sudah tidak sesuai dan mahkota paling berharga bagi wanita iaitu rambut pula kini tertutup.

Tapi sejak akhir-akhir ini, mereka yang bertudung melakukan eksperimen dengan mengenakan turban dan pelbagai lilitan asalkan rambut tertutup membuatkan imej itu dilihat ‘in’. 

Bukan sekadar fenomena memakai tudung ini adalah tanda positif mengikut mata agama, malah secara tidak langsung ledakan itu turut memberi tempias kepada cabang perniagaan dan rekaan kreatif tudung.

Lihat saja penyanyi terkenal Yuna dan Shila Amzah, masing-masing berjaya menonjolkan identiti diri dengan imej bertudung. Mulalah ramai gadis mengikut gaya itu, mengenakan tudung seperti penyanyi kegemaran mereka.

Bagaimanapun timbul persoalan terhadap pemakaian itu selepas ia ditransformasikan sehingga ‘hilang’ tujuan sebenar seperti disyariatkan dalam Islam. Hakikatnya, gaya bertudung mereka adalah untuk kepuasan diri dengan mengenakan fesyen terkini dan bukannya menutup rambut kerana tuntutan agama.


Namun, tidak semuanya begitu walaupun realitinya hari ini lebih ramai selebriti berhijrah secara mendadak dan kemudiannya muncul pula pelbagai bahan bacaan dan program televisyen yang khas buat mereka bertudung. 

Adakah tudung atau sebarang gaya menutup aurat rambut itu satu fesyen ataupun sudah masanya untuk berhijrah?


Tidak salah untuk cantik

Fesyen memang dibolehkan, Islam tidak melarang. Kalau dilihat, fesyen bertudung kebanyakan pendek di bahagian dada, tapi labuh di bahagian belakang. Tapi Islam memerintahkan ‘labuh di bahagian dada’.

Ingin kelihatan cantik tidak salah dan itu memang lumrah setiap manusia, lebih-lebih lagi golongan Hawa. Tapi semuanya ada batas terutama bagi mereka yang mengenakan tudung. 

Mendengar beberapa pendapat anak muda, mereka lebih menyifatkan senario ini sebagai hak individu. Ikut niat dan kata hati bukannya apa yang dipamerkan pada luaran saja. 

“Berhijab satu tuntutan dan kewajipan sebagai Islam. Tidak salah, jika kita ingin mengikut fesyen atau trend, tapi haruslah mengikut syariat. Tuntutan atau fesyen terpulang kepada si pemakai, kerana mereka lebih tahu sama ada pakaian itu sekadar fesyen atau sebaliknya.

“Memang tidak dinafikan, ada orang memakai hijab merasakan tidak cantik kalau tidak ketat dan sebagainya. Tidak salah untuk cantik, tapi biarlah aurat itu dipelihara dan dijaga, ingin cantik adalah fitrah manusia. Tidak salah untuk cantik kerana Allah juga sukakan kecantikan. 

“Tudung masa kini nampak lebih kepada trend. Terutama perkembangan luar yang memodenkan pemakaian hijab, kadang-kadang sudah menyerupai cara tudung orang yang bukan Islam. 

“Bila ditanya, mereka hanya mengatakan Islam itu mudah dan boleh berfesyen, tapi kita sendiri lupa benda kecil itulah di sisi Allah sangat besar. Perkara ini sudah lari daripada hukum sebenar, kadang-kadang agak keterlaluan dilihat, menutup aurat, baju jarang, nampak susuk tubuh badan, tidak pun tudung dah cantik, nampak pula leher.

“Justeru untuk membincangkan perkara ini, ia berbalik semula kepada nawaitu si ­pemakai. Jangan nanti kalau menuduh atau salah andaian, jatuh hukum fitnah pula,” kata gadis muda yang sudah lebih setahun berhijab itu. 

Bagaimanapun perlu diingatkan, jika ada gadis yang bertudung untuk fesyen, peratusannya begitu kecil. Tapi daripada pemerhatian kasar, anak gadis yang sudah berhijrah dengan mengenakan tudung adalah mereka yang memang ingin berubah. 

Keberanian dan rasa yakin untuk mereka mengubah imej itu adalah disebabkan mereka melihat yang bertudung juga masih boleh nampak cantik dan bergaya jika betul cara pemakaiannya.



                              

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terikut-ikuttudung/Article/index_html



Salah Ukur Baju

Memahami isu trend, fesyen dan teknologi mampu buatkan seseorang nampak bergaya. Sebab itulah anak muda sekarang lebih pentingkan jenama dan gaya tanpa hirau duit dalam poket cukup atau tidak.
Sana-sini bising isu kenaikan harga makanan, bahan api petrol, diesel serta harga rokok semakin mahal. Bagi golongan berkeluarga, sudah tentu kenaikan harga keperluan asas cukup meresahkan kerana terpaksa menyusun semula bajet bulanan. 
Namun lain kisahnya bagi kebanyakan anak muda. Golongan ini tidak terkesan dengan fenomena harga naik kerana perbelanjaan dan wang poket masih disalurkan ibu bapa atau duit pinjaman. Oleh itu, tabiat berbelanja dengan boros diteruskan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Pelbagai produk dan trend pakaian baru dipaparkan di televisyen dan papan iklan membuatkan keinginan diri membuak-buak untuk mendapatkannya walhal wang poket tak seberapa. Sebagai remaja, apakah peranan kita dalam mengawal perbelanjaan seharian?
TAK BOLEH UBAH TABIAT

Tak kisah tebalkan muka meminjam sana-sini asalkan mampu bergaya dan nampak menonjol daripada yang lain. Itu realiti anak muda sekarang yang sanggup habiskan wang ringgit semata-mata mahu kelihatan ‘up-to-date’.

Lebih menyedihkan terdapat juga remaja yang membelanjakan wang sama ada daripada wang saku yang diberikan ibu bapa, pinjaman atau biasiswa mahupun hasil duit poket hasil kerja sambilan dengan membeli rokok, barang-barang terlarang, berbelanja di tempat hiburan dan sebagainya. Tanpa berfikir panjang, mereka akan gunakan duit yang ada untuk memenuhi keinginan berbanding keperluan.

Sebagai contoh, telefon berharga RM600 sudah memadai untuk seorang pelajar berbanding telefon pintar bernilai RM2,000. Hakikatnya yang mahal itulah menjadi pilihan mereka kerana tidak mahu dicop ketinggalan zaman. Senario ini sering berlaku dalam kalangan remaja, disebabkan itu mereka sukar untuk mengubah tabiat ‘salah ukur baju’ ini.


LAIN UMUR LAIN KEINGINAN

Berdasarkan program yang dilaksanakan Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) pada 2010, mereka mendapati pola perbelanjaan kanak-kanak dan remaja jauh berbeza iaitu kanak-kanak sekitar usia lima tahun lebih cenderung membeli alat permainan sebagai keperluan utama berbanding remaja suka produk penampilan diri.

Semakin kanak-kanak meningkat dewasa, semakin berbeza kemahuan dan keinginan mereka. Ini menunjukkan semakin meningkat usia seseorang, mereka lebih banyak berbelanja untuk menjaga penampilan diri selain daripada produk hiburan seperti alat telekomunikasi dan telefon bimbit.

Menjengah ke peringkat lebih tinggi, remaja berstatus pelajar institusi pengajian tinggi lebih mementingkan alat telekomunikasi, pakaian berjenama dan kenderaan sebagai keperluan. Tak kiralah apa saja kemahuan yang diinginkan asalkan wang yang ada cukup untuk dibelanjakan setiap bulan tanpa perlu menyusahkan orang lain, pandai-pandailah kita fikirkan untuk kesenangan seharian.


PENGARUH ANASIR LUAR

Isu ‘salah ukur baju’ ini lebih terarah kepada remaja yang berusia 15 hingga 29 tahun. Walaupun sumber kewangan pada peringkat ini tidak begitu kukuh, tak dinafikan keinginan meninggi sama seperti orang dewasa. Kenyataan ini diakui beberapa kenalan penulis yang ditemui.

Bagi Mohd Syukri Hassan, 23, dia menjelaskan selepas tamat belajar, remaja akan berlumba-lumba untuk mencari kerja. Katanya, apabila sudah mendapat kerja, akan timbul perkara lain untuk ‘kacau bilaukan’ bajet gaji bulanan.

“Saya akui, setiap peringkat umur akan wujud ‘anasir’ luar sama ada daripada kawan atau media massa yang mempengaruhi fikiran. Contohnya apabila sudah berkereta, timbul pula kecenderungan untuk mengubah suai kenderaan, tambah itu ini untuk nampak cantik, semua itu memerlukan wang. Sudahnya keinginan baru ini akan ‘kacau kepala’ setiap kali gaji masuk,” katanya yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Manakala bagi Fatihah Md Isa, 24, pula menjelaskan perubahan gaya hidup khususnya bagi mereka yang suka berhibur akan mengubah gaya perbelanjaannya ke arah perkara sia-sia. Apatah lagi dengan tabiat remaja yang suka mengikut trend terkini, pengeluar produk pastinya berlumba-lumba untuk menghasilkan barangan untuk menarik golongan muda membelinya.


BUAT BUKU 555

Jika anda dilahirkan pada 70-an, 80-an atau awal 90-an, pastinya tidak akan lupa dengan buku 555, iaitu buku kecil yang sering menjadi pilihan ibu bapa mencatatkan segala hutang dan wang keluar masuk setiap bulan.

Meskipun zaman sudah lama berubah, tidak ada salahnya kita kekalkan tradisi yang boleh beri kebaikan. Penulis berpendapat, kekalkan tabiat mencatatkan apa saja perbelanjaan harian boleh buatkan kita tahu cara kita aturkan wang selain aliran duit keluar masuk lebih mudah dikawal.

Malah, pakar kewangan juga ada mencadangkan perkara asas yang mudah iaitu senarai barang perbelanjaan ditulis dan dicatatkan supaya aliran keluar masuk wang dapat diperiksa selalu. Keperluan utama perlu didahulukan seperti membeli buku, peralatan kuliah dan sebagainya. Namun hendaklah diasingkan antara keperluan yang mendesak ataupun keperluan pada masa jangka panjang. Untuk realisasikan perkara ini perlu ada kekuatan dalaman yang kukuh dan mestilah berdisiplin. Kalau pun ada 10 buah buku catatan, tapi sikap boros masih sama, tidak ada gunanya.


PILIH TABUNG COMEL

Dalam situasi sekarang, pembiayaan kos pendidikan dan taraf hidup yang makin meningkat membuatkan kita semakin sukar untuk mendapat pembiayaan perbelanjaan pendidikan atau sara diri. Oleh itu, dengan amalan menabung seawal remaja lagi, wang itu dapat digunakan untuk keperluan mendesak kelak.

Antara tekniknya adalah dengan memilih tabung yang anda suka. Tabung comel contohnya bercorak bunga, berbentuk kucing, rumah atau apa saya yang ada gemari boleh buatkan kita lebih bersemangat untuk menabung. Ambil langkah kurang habiskan wang kepada perkara yang kurang penting. Contohnya membeli kredit panggilan telefon, pakaian baru berjenama dan makanan ringan.

Pengurangan penggunaan kredit telefon dapat menjimatkan banyak wang, malah duit itu boleh dimasukkan ke dalam tabung. Pembelian pakaian baru dapat dihadkan, pembelian makanan yang tidak berkhasiat juga dapat dielakkan sebagai langkah berjimat-cermat.

Kesimpulannya, ukurlah baju di badan sendiri. ‘Jangan pula saiz badan S tapi berbelanja seperti saiz XL’.






Tuesday 1 October 2013

Asalkan Ikhlas.

Tiba saja tarikh lahir, tentu antara kita meraikan ulang tahun kelahiran bersama insan teristimewa sama ada dengan keluarga, saudara, sahabat dan kekasih.
Pun begitu, apabila sampai tarikh itu pasti kita tertanya-tanya hadiah yang sesuai diberikan kepada pasangan. Tambahan pula, si dia cerewet sedang­kan ia bergantung kepada keikhlasan individu itu sendiri. 
Jadi, sebagai kekasih boleh memberikan hadiah dalam pelbagai bentuk seperti aksesori, makanan atau pakaian asalkan si dia suka dan dapat dijadikan kenangan. 
Pemberian bunga
Bunga adalah salah satu cara orang lelaki pada zaman 80-an memberi hadiah kepada pasangan wanita ketika menyambut ulang tahun kelahiran. Jika diimbas kembali, bunga juga sebagai simbol untuk melamar kekasih sebagai teman sehidup semati. 

Namun, peredaran era memperlihat­kan perubahan sehingga pemberian bunga bukan lagi satu ikutan terutama golongan muda. 

Pemberian bunga juga dianggap ‘taktik lama’ dan tak mengikut perubahan zaman. Jika kita lihat dalam drama Melayu, tidak ada lagi babak pemberian bunga. Jika ada sekalipun, mungkin cerita lama. 

Tapi, jika pasangan itu memang dilahirkan mempunyai naluri romantis dan ingin menunjukkan kasih sayang dengan cara memberi bunga, mungkin anda dalam kalangan yang bertuah. 


Puisi cinta

Sebut berkaitan puisi, sajak, syair dan pantun, tentu ada yang menarik diri kerana tidak pandai menyusun ayat dalam kosa kata tertentu. Lantas mengelak, jika ada teman rapat memberi cadangan itu. 

Jika menerima cadangan itu sekalipun, barangkali melantik atau memberi upah kepada teman lain yang memang bijak dalam mengarang puisi. Namun, tak dihebohkan kepada kekasih, nanti tak mahu pula dia menerimanya. 

Maklum saja, wanita memang ­dilahirkan mempunyai naluri halus dan mudah tersentuh jika teman lelakinya memberikan kata-kata pujangga begitu. Tak kisah siapa yang mengarang, asalkan ada dan ia menampakkan kesungguhan lelaki untuk menarik hati wanita. 

Sejak lahirnya kecanggihan Internet, mereka yang dilamun cinta tidak perlu lagi bersusah payah mengarang puisi, tapi hanya salin semula ayat-ayat itu. 

Namun jangan sambil lewa ambil, seharusnya teliti maksud yang disampaikan dan tidak lupa untuk menyatakan sumber yang diambil, lucu! 

Malah ia lebih memudahkan seseorang itu daripada mengarang puisi panjang kerana hasil tangan sendiri belum tentu dapat dirasai dan difahami oleh sang kekasih. 

Meskipun, ada yang me­ngambil keputusan untuk memberikan hadiah dalam bentuk puisi, jangan pula kecut perut jika kekasih inginkan puisi daripada ilham anda sendiri. Namun tak jadi masalah buat mereka yang memang berbakat. 


Kad ucapan

Ada pelbagai saiz, yang kecil boleh diselitkan di kotak hadiah. Tetapi hari ini, ia bagaikan tidak relevan. Lainlah si romantis berjiwa klasik dan sentimental.

Zaman perubahan teknologi dan lambakan laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook ini tidak memungkinkan lagi pemberian kad ucapan dalam bentuk fizikal kerana lambakan ucapan kini boleh diperoleh dengan mudah. Kebanyakannya percuma!


Wangian 

Pemberian minyak wangi kepada pasangan ketika menyambut ulang tahun kelahirannya masih popular dalam kalangan muda-mudi. Tambahan lambakan mi­nyak wangi bukan sahaja di pasaraya atau butik mewah, sebaliknya mudah didapati di pasar malam dengan pelbagai jenis aroma, jenama dan harga murah. Namun apakah ramai kekasih yang mahu menghadiahkan barangan pasara malam? Tepuk dada tanya selera.

Jika ingin membelinya untuk dijadikan sebagai hadiah, jangan pula memberitahu kepada pasa­ngan. Bimbang ‘kantoi’ pula. Faham saja, tak ada pasangan yang rela diberikan hadiah yang dibeli dari pasar malam, nampak murah dan tak ada kualiti. 

Namun tidak ada salahnya jika ia dibeli dari pasar malam atau di tempat mana sekalipun, asalkan pasangan itu ikhlas. Jika tak mahu membazir, bertanya terlebih awal minyak wangi kegemarannya. Baru si dia terasa keikhlasan anda pada saat itu dan merasakan kekasihnya menghargai kehadiran dirinya dengan memberikan hadiah kesukaan. 


Tip memberi hadiah

Memberikan hadiah adalah salah satu cara untuk mengungkap perasaan sayang kepada insan teristimewa. Bagaimana cara berkesan untuk memberikan hadiah? 

1. Kemas atau bungkus hadiah sebaik mungkin agar si dia yang menerimanya akan rasa lebih senang dan tertarik meskipun hadiah di dalamnya hanyalah biasa-biasa saja. Selain, membuatkan perasaan melonjak gembira apabila menerima hadiah dan si dia akan lebih menghargai pemberian hadiah itu. 

2. Memberikan hadiah pada hari penting atau hari yang teristimewa buat dirinya. Kerap melakukan kejutan memberi hadiah pada hari lain sebagai tanda dia dihargai. 

3. Jika ingin memberi seseorang itu hadiah haruslah dengan hati yang tulus dan ikhlas. 

4. Jika sudah memberi hadiah, tidak sesekali mengung­kit dan membicarakan pemberian hadiah yang diberikan serta tidak meminta untuk dibalas.