Pages

Wednesday 30 October 2013

Terikut- ikut tudung

                                

Sebelum ini mereka yang bertudung lebih terbatas untuk mengenakan imej selari dengan fesyen semasa. Apatah lagi menyarungkan pelbagai busana terbaru kerana semuanya lebih tertumpu pada mereka yang tidak bertudung.
Kiranya mereka yang gemar fesyen akan lebih melihat aspek itu sempit selepas berhijrah. Maklumlah pakaian sendat sudah tidak sesuai dan mahkota paling berharga bagi wanita iaitu rambut pula kini tertutup.

Tapi sejak akhir-akhir ini, mereka yang bertudung melakukan eksperimen dengan mengenakan turban dan pelbagai lilitan asalkan rambut tertutup membuatkan imej itu dilihat ‘in’. 

Bukan sekadar fenomena memakai tudung ini adalah tanda positif mengikut mata agama, malah secara tidak langsung ledakan itu turut memberi tempias kepada cabang perniagaan dan rekaan kreatif tudung.

Lihat saja penyanyi terkenal Yuna dan Shila Amzah, masing-masing berjaya menonjolkan identiti diri dengan imej bertudung. Mulalah ramai gadis mengikut gaya itu, mengenakan tudung seperti penyanyi kegemaran mereka.

Bagaimanapun timbul persoalan terhadap pemakaian itu selepas ia ditransformasikan sehingga ‘hilang’ tujuan sebenar seperti disyariatkan dalam Islam. Hakikatnya, gaya bertudung mereka adalah untuk kepuasan diri dengan mengenakan fesyen terkini dan bukannya menutup rambut kerana tuntutan agama.


Namun, tidak semuanya begitu walaupun realitinya hari ini lebih ramai selebriti berhijrah secara mendadak dan kemudiannya muncul pula pelbagai bahan bacaan dan program televisyen yang khas buat mereka bertudung. 

Adakah tudung atau sebarang gaya menutup aurat rambut itu satu fesyen ataupun sudah masanya untuk berhijrah?


Tidak salah untuk cantik

Fesyen memang dibolehkan, Islam tidak melarang. Kalau dilihat, fesyen bertudung kebanyakan pendek di bahagian dada, tapi labuh di bahagian belakang. Tapi Islam memerintahkan ‘labuh di bahagian dada’.

Ingin kelihatan cantik tidak salah dan itu memang lumrah setiap manusia, lebih-lebih lagi golongan Hawa. Tapi semuanya ada batas terutama bagi mereka yang mengenakan tudung. 

Mendengar beberapa pendapat anak muda, mereka lebih menyifatkan senario ini sebagai hak individu. Ikut niat dan kata hati bukannya apa yang dipamerkan pada luaran saja. 

“Berhijab satu tuntutan dan kewajipan sebagai Islam. Tidak salah, jika kita ingin mengikut fesyen atau trend, tapi haruslah mengikut syariat. Tuntutan atau fesyen terpulang kepada si pemakai, kerana mereka lebih tahu sama ada pakaian itu sekadar fesyen atau sebaliknya.

“Memang tidak dinafikan, ada orang memakai hijab merasakan tidak cantik kalau tidak ketat dan sebagainya. Tidak salah untuk cantik, tapi biarlah aurat itu dipelihara dan dijaga, ingin cantik adalah fitrah manusia. Tidak salah untuk cantik kerana Allah juga sukakan kecantikan. 

“Tudung masa kini nampak lebih kepada trend. Terutama perkembangan luar yang memodenkan pemakaian hijab, kadang-kadang sudah menyerupai cara tudung orang yang bukan Islam. 

“Bila ditanya, mereka hanya mengatakan Islam itu mudah dan boleh berfesyen, tapi kita sendiri lupa benda kecil itulah di sisi Allah sangat besar. Perkara ini sudah lari daripada hukum sebenar, kadang-kadang agak keterlaluan dilihat, menutup aurat, baju jarang, nampak susuk tubuh badan, tidak pun tudung dah cantik, nampak pula leher.

“Justeru untuk membincangkan perkara ini, ia berbalik semula kepada nawaitu si ­pemakai. Jangan nanti kalau menuduh atau salah andaian, jatuh hukum fitnah pula,” kata gadis muda yang sudah lebih setahun berhijab itu. 

Bagaimanapun perlu diingatkan, jika ada gadis yang bertudung untuk fesyen, peratusannya begitu kecil. Tapi daripada pemerhatian kasar, anak gadis yang sudah berhijrah dengan mengenakan tudung adalah mereka yang memang ingin berubah. 

Keberanian dan rasa yakin untuk mereka mengubah imej itu adalah disebabkan mereka melihat yang bertudung juga masih boleh nampak cantik dan bergaya jika betul cara pemakaiannya.



                              

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terikut-ikuttudung/Article/index_html



No comments:

Post a Comment