Pages

Thursday 16 January 2014

Rezeki ALLAH Itu Luas

kerat & tampal
Menerusi laman Facebook, ramai cuba menjadi jaguh bagi menentang kenaikan harga minyak dengan memberi analisis serta fakta yang kadangkala tidak diketahui kesahihan sumbernya.Tidak kurang juga mempertahankan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi harga petrol demi kesejahteraan rakyat untuk jangka panjang.Bagaimanapun, saya percaya kenaikan harga minyak mengundang sedikit sebanyak rasa sensitif dalam kalangan rakyat ‘marhaen’ yang seolah-olah sukar menerima kenyataan bahawa ia petanda kos sara hidup kita juga akan setakuk lebih tinggi daripada sebelumnya.


Golongan oportunis seperti kalangan peniaga pula akan menjadikan kenaikan harga petrol sebagai alasan kuat untuk menaikkan harga barang jualan. Tidak hairan, mereka cepat mengambil peluang untuk mengaut lebih keuntungan.Lihat saja laporan akhbar dua hari selepas kenaikan harga minyak diumumkan. Ada yang melaporkan harga segelas teh tarik di sebuah restoran naik 20 sen, ‘seiring’ dengan kenaikan harga petrol.

Dalam kehidupan dunia yang tidak adil ini, manusia terbahagi kepada dua kumpulan.Kumpulan pertama adalah dari golongan kebanyakan, yang menjadi mangsa untuk menelan pelbagai peningkatan kos sara hidup, di mana wang di dalam poket menjadi semakin tipis.

Namun, menyentuh isu kenaikan harga minyak, perlu diketahui, biar sehebat mana kita berhujah menentang kenaikan harga minyak dan barang komoditi lain, ia tidak sekali-kali akan mengecualikan kita daripada mengakui hakikat bahawa kita perlu lebih bersedia menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Kos sara hidup yang semakin meninggi umpama ‘mahar’ yang perlu kita bayar untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang semakin canggih dan moden ini.
Inilah hakikat yang perlu kita telan pada hari ini. Kenaikan kos sara hidup bukan saja dirasai rakyat negara ini, tetapi juga dihadapi rakyat negara lain.

Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang teman yang baru pulang dari Indonesia. Malah, rungutan beliau juga sama iaitu mengenai kenaikan kos sara hidup di Jakarta.
Sejak dua bulan lalu, rata-rata barang serta caj perkhidmatan seperti teksi mengalami kenaikan harga antara 10 hingga 20 peratus.Jadi sememangnya ia sesuatu yang perlu ditelan dan sepatutnya menjadikan kita lebih cekal menerima hakikat betapa dunia masa kini bukan seperti dulu.

Kita boleh merungut dan meratap menerima hakikat ini, tetapi tiada apa yang dapat mengubah nasib kita selain diri kita sendiri.Bagaimana susahnya keadaan kita pada masa ini, kita tidak akan mampu mendapatkan sesuatu dengan harga lebih murah kerana dunia tidak akan mengetahui kesusahan kita.

Kita perlu atau mungkin terpaksa menjadi kreatif dan berusaha lebih gigih lagi demi meneruskan kelangsungan hidup masa kini. Insya-Allah, rezeki Allah itu luas selagi kita berusaha dan memohon kepada-Nya dengan disertai pengabadian diri yang lebih kerap kepada-Nya.

Kita sebagai rakyat biasa sebenarnya sering menjadi mangsa dengan hujah dangkal golongan oportunis ini yang memberi alasan untuk menaikkan harga barang. Pastinya mereka berhujah bahawa kos operasi meningkat setiap kali harga minyak dan barang komoditi seperti gula naik.Golongan kedua pula adalah daripada kalangan minoriti, yang mana mereka mengeksploitasi keadaan untuk mengaut keuntungan berganda.