Pages

Wednesday 30 October 2013

Salah Ukur Baju

Memahami isu trend, fesyen dan teknologi mampu buatkan seseorang nampak bergaya. Sebab itulah anak muda sekarang lebih pentingkan jenama dan gaya tanpa hirau duit dalam poket cukup atau tidak.
Sana-sini bising isu kenaikan harga makanan, bahan api petrol, diesel serta harga rokok semakin mahal. Bagi golongan berkeluarga, sudah tentu kenaikan harga keperluan asas cukup meresahkan kerana terpaksa menyusun semula bajet bulanan. 
Namun lain kisahnya bagi kebanyakan anak muda. Golongan ini tidak terkesan dengan fenomena harga naik kerana perbelanjaan dan wang poket masih disalurkan ibu bapa atau duit pinjaman. Oleh itu, tabiat berbelanja dengan boros diteruskan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Pelbagai produk dan trend pakaian baru dipaparkan di televisyen dan papan iklan membuatkan keinginan diri membuak-buak untuk mendapatkannya walhal wang poket tak seberapa. Sebagai remaja, apakah peranan kita dalam mengawal perbelanjaan seharian?
TAK BOLEH UBAH TABIAT

Tak kisah tebalkan muka meminjam sana-sini asalkan mampu bergaya dan nampak menonjol daripada yang lain. Itu realiti anak muda sekarang yang sanggup habiskan wang ringgit semata-mata mahu kelihatan ‘up-to-date’.

Lebih menyedihkan terdapat juga remaja yang membelanjakan wang sama ada daripada wang saku yang diberikan ibu bapa, pinjaman atau biasiswa mahupun hasil duit poket hasil kerja sambilan dengan membeli rokok, barang-barang terlarang, berbelanja di tempat hiburan dan sebagainya. Tanpa berfikir panjang, mereka akan gunakan duit yang ada untuk memenuhi keinginan berbanding keperluan.

Sebagai contoh, telefon berharga RM600 sudah memadai untuk seorang pelajar berbanding telefon pintar bernilai RM2,000. Hakikatnya yang mahal itulah menjadi pilihan mereka kerana tidak mahu dicop ketinggalan zaman. Senario ini sering berlaku dalam kalangan remaja, disebabkan itu mereka sukar untuk mengubah tabiat ‘salah ukur baju’ ini.


LAIN UMUR LAIN KEINGINAN

Berdasarkan program yang dilaksanakan Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) pada 2010, mereka mendapati pola perbelanjaan kanak-kanak dan remaja jauh berbeza iaitu kanak-kanak sekitar usia lima tahun lebih cenderung membeli alat permainan sebagai keperluan utama berbanding remaja suka produk penampilan diri.

Semakin kanak-kanak meningkat dewasa, semakin berbeza kemahuan dan keinginan mereka. Ini menunjukkan semakin meningkat usia seseorang, mereka lebih banyak berbelanja untuk menjaga penampilan diri selain daripada produk hiburan seperti alat telekomunikasi dan telefon bimbit.

Menjengah ke peringkat lebih tinggi, remaja berstatus pelajar institusi pengajian tinggi lebih mementingkan alat telekomunikasi, pakaian berjenama dan kenderaan sebagai keperluan. Tak kiralah apa saja kemahuan yang diinginkan asalkan wang yang ada cukup untuk dibelanjakan setiap bulan tanpa perlu menyusahkan orang lain, pandai-pandailah kita fikirkan untuk kesenangan seharian.


PENGARUH ANASIR LUAR

Isu ‘salah ukur baju’ ini lebih terarah kepada remaja yang berusia 15 hingga 29 tahun. Walaupun sumber kewangan pada peringkat ini tidak begitu kukuh, tak dinafikan keinginan meninggi sama seperti orang dewasa. Kenyataan ini diakui beberapa kenalan penulis yang ditemui.

Bagi Mohd Syukri Hassan, 23, dia menjelaskan selepas tamat belajar, remaja akan berlumba-lumba untuk mencari kerja. Katanya, apabila sudah mendapat kerja, akan timbul perkara lain untuk ‘kacau bilaukan’ bajet gaji bulanan.

“Saya akui, setiap peringkat umur akan wujud ‘anasir’ luar sama ada daripada kawan atau media massa yang mempengaruhi fikiran. Contohnya apabila sudah berkereta, timbul pula kecenderungan untuk mengubah suai kenderaan, tambah itu ini untuk nampak cantik, semua itu memerlukan wang. Sudahnya keinginan baru ini akan ‘kacau kepala’ setiap kali gaji masuk,” katanya yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Manakala bagi Fatihah Md Isa, 24, pula menjelaskan perubahan gaya hidup khususnya bagi mereka yang suka berhibur akan mengubah gaya perbelanjaannya ke arah perkara sia-sia. Apatah lagi dengan tabiat remaja yang suka mengikut trend terkini, pengeluar produk pastinya berlumba-lumba untuk menghasilkan barangan untuk menarik golongan muda membelinya.


BUAT BUKU 555

Jika anda dilahirkan pada 70-an, 80-an atau awal 90-an, pastinya tidak akan lupa dengan buku 555, iaitu buku kecil yang sering menjadi pilihan ibu bapa mencatatkan segala hutang dan wang keluar masuk setiap bulan.

Meskipun zaman sudah lama berubah, tidak ada salahnya kita kekalkan tradisi yang boleh beri kebaikan. Penulis berpendapat, kekalkan tabiat mencatatkan apa saja perbelanjaan harian boleh buatkan kita tahu cara kita aturkan wang selain aliran duit keluar masuk lebih mudah dikawal.

Malah, pakar kewangan juga ada mencadangkan perkara asas yang mudah iaitu senarai barang perbelanjaan ditulis dan dicatatkan supaya aliran keluar masuk wang dapat diperiksa selalu. Keperluan utama perlu didahulukan seperti membeli buku, peralatan kuliah dan sebagainya. Namun hendaklah diasingkan antara keperluan yang mendesak ataupun keperluan pada masa jangka panjang. Untuk realisasikan perkara ini perlu ada kekuatan dalaman yang kukuh dan mestilah berdisiplin. Kalau pun ada 10 buah buku catatan, tapi sikap boros masih sama, tidak ada gunanya.


PILIH TABUNG COMEL

Dalam situasi sekarang, pembiayaan kos pendidikan dan taraf hidup yang makin meningkat membuatkan kita semakin sukar untuk mendapat pembiayaan perbelanjaan pendidikan atau sara diri. Oleh itu, dengan amalan menabung seawal remaja lagi, wang itu dapat digunakan untuk keperluan mendesak kelak.

Antara tekniknya adalah dengan memilih tabung yang anda suka. Tabung comel contohnya bercorak bunga, berbentuk kucing, rumah atau apa saya yang ada gemari boleh buatkan kita lebih bersemangat untuk menabung. Ambil langkah kurang habiskan wang kepada perkara yang kurang penting. Contohnya membeli kredit panggilan telefon, pakaian baru berjenama dan makanan ringan.

Pengurangan penggunaan kredit telefon dapat menjimatkan banyak wang, malah duit itu boleh dimasukkan ke dalam tabung. Pembelian pakaian baru dapat dihadkan, pembelian makanan yang tidak berkhasiat juga dapat dielakkan sebagai langkah berjimat-cermat.

Kesimpulannya, ukurlah baju di badan sendiri. ‘Jangan pula saiz badan S tapi berbelanja seperti saiz XL’.






No comments:

Post a Comment